Sunday, March 27, 2011

PANTUN BUDI BAHASA

Makan Capati berkasut but,
Memakai Turban di atas anjung;
Budi bahasa dikenang disebut,
Peribadi terpuji selalu disanjung.

Bunga Cina di atas batu,
Berbaju cheongsam benang dibuang;
Adat dunia memang begitu,
Sebab harta budi terbuang.

Batik dijemur di tepi pantai,
Ketupat palas dalm kemudi;
Biar buruk kain dipakai,
Budi yang ikhlas dikenang abadi.

Pakai sari jahitnya kemas,
Masak udang campurkan kari;
Banyak harta dan juga emas,
Budi Bahasa juga yang saya cari.

jika kita lihat pantun-pantu di atas semuanya berbicara tentang budi bahasa. keadaan ini menunjukkan budi bahasa merupakan sesuatu yang amat bernilai. Sekiranya sesebuah bangsa itu tidak mempunyai budi bahasa maka runtuhlah bangsa tersebut.

Tegak rumah kerana sendi,
Runtuh sendi rumah binasa;
Sendi bangsa ialah budi,
Runtuh budi runtuhlah bangsa.

BERBUDI BAHASA AKHLAK MULIA

Walaupun berbudi bahasa dan nilai-nilai murni itu secara istilahnya bukan disebut sebagai Akhlak mulia, namun ia tetap membawa maksud yang sama. Sesuai dengan galakan agama yang menyatakan kepentingan menjaga suara hati dan pertuturan sebagai garis permulaan mempertingkatkan budi pekerti diri. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa mendengar,lagi maha mengetahui." (Surah an-Nisa'ayat 148)

Rasulullah saw pernah bersabda yang maksudnya: "Sesungguhnya Allah menyukai sikap berlemah lembut dalam semua perkara."

Budi bahasa dan nilai-nilai murni harus dipraktikkan di setiap aspek kehidupan agar keindahan Islam itu akan memberi kesan baik yang menyeluruh terhadap kemaslahatan sesebuah masyarakat.

Masyarakat kini digesa untuk menghidupkan dan menghangatkan kembali nilai murni dalam kehidupan seharian. Walau apa pun status dan kerjaya kita sebagai seorang generasi millenium atau kita terlibat dengan penglibatan antarabangsa, maka berpasak teguhlah pada peribadi budi seorang yang berbudi bahasa.

PEMUPUKAN NILAI MURNI DALAM KALANGAN MASYARAKAT

Budaya berbudi bahasa dan mengamalkan nilai-nilai murni bukan sekadar perlu dipertahankan bahkan perlu diperkayakan lagi agar ia tidak mengalami kepupusan serta sentiasa berkesinambungan untuk diwarisi daripada generasi ke generasi seterusnya. Usaha kita mempertahankan budaya dan adat resam perlu juga disertai dengan aspek tingkah laku berbudi bahasa.

Malaysia memerlukan pembangunan nilai dan budaya yang betul. Nilai-nilai yang terlibat adalah seperti ketulusan, kejujuran, intergriti, adil, amanah dan akauntabiliti. Dengan ini, kita bukan sahaja mampu membentuk aspek pembangunan luaran semata-mata, akan tetapi perlu juga memperbaiki aspek dalaman yang dikenali sebagai aspek keperibadian untuk menjadikan masyarakat kita sebagai suatu masyarakat yang benar-benar bertamadun.

Kemajuan dunia merangsang kita untuk bekerja, berdaya maju dan berusaha. Tetapi jangan sampai kemajuan itu mengajarkan kita pada perkara yang sebaliknya. Iaitu mengurangi nilai-nilai murni yang sedia ada dan pernah menjadi suatu kebanggaan atau aset bangsa.

Setiap golongan dan peringkat memainkan peranan untuk bekerjasama mempertahan dan memperkukuhkan budaya menjadikan budi bahasa dan pengamalan nilai-nilai murni sebagai satu cara dan gaya hidup berkesinambungan.

Permulaan yang baik adalah bermula daripada institusi keluarga yang menekankan tanggungjawab memberi pendidikan berdasarkan autoriti ibu bapa kepada anak-anak. Permulaan daripada kelompok keluarga adalah lebih berkesan dan lebih sesuai dijadikan sebagai tempat berkesinambungannya khazanah budaya berbudi bahasa dan nilai-nilai murni.

ETIKA PERKHIDMATAN AWAM

Dalam memanfaatkan kepentingan budi bahasa dan pengamalan nilai-nilai murni sebagai satu agenda pembangunan material dan mentaliti, adalah suatu yang perlu untuk membudaya dan memperteguhkan etika kerja berdasarkan pendekatan tersebut. Anggota perkhidmatan awam dan jabatan-jabatan yang bertanggungjawab dalam perkhidmatan penguatkuasaan seperti polis, imigresen dan semua yang terlibat dengan khidmat pelanggan khususnya haruslah memberi perkhidmatan dengan penuh beradab. Tutur kata yang mesra, bersopan dan sentiasa membantu adalah tunggak kecemerlangan bagi sesebuah perkhidmatan.

Suatu masa dahulu, senario di sekitar pengangkutan awam pernah menggambarkan suasana kesopanan dan budi bahasa yang boleh dibanggakan. Namun sekarang, masyarakat boleh merasa malu untuk mempraktikkan nilai-nilai murni di khalayak ramai kerana keprihatinan telah berkurang sehingga boleh muncul mentaliti mempersenda nilai-nilai yang baik.

Secara tidak sedar, pelbagai gejala negatif akan boleh timbul akibat daripada kepupusan budi bahasa dan nilai murni. Orang timur pada kebiasaannya memang lemah lembut dan sensitif jiwanya terhadap budi bicara. Hubungan dan keharmonian boleh porak peranda hanya kerana kekurangan budi bahasa. Bak kata pepatah "Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa".

BUDI BAHASA DAN NILAI KHAZANAH

Malaysia hari ini, situasi negara semakin maju dan membangun dengan kepesatan dalam pelbagai bidang termasuklah pembangunan ekonomi, peningkatan kualiti hidup, masyarakat yang berilmu dan juga masyarakat yang berdaya maju. Masyarakat pula semakin sedar untuk hidup berlumba-lumba mempertingkatkan status kedudukan sebagai suatu kelompok yang berdaya maju dan bertanggungjawab terhadap hal ehwal dan permasalahan serta keperluan negara. Dengan sikap majoriti secara dominan sebagai suatu masyarakat produktif dan berwibawa, maka negara kita semakin menuju ke arah kecemerlangan, kegemilangan dan terbilang.

Di sebalik pembangunan fizikal dan kebendaan tersebut, kita sebagai masyarakat yang terbilang perlu mempunyai agenda tersendiri agar tidak semata-mata hanya mempunyai infrastruktur kelas pertama tetapi memiliki mentaliti kelas ketiga. Masyarakat perlu memperkukuh lagi aspek budi bahasa dan nilai-nilai murni yang semakin diabaikan sejak akhir-akhir ini.

Sebagai rakyat Malaysia kita perlu ada kesedaran mengenai asal usul dan acuan kita sendiri yang boleh dilabelkan sebagai "Orang Timur". Orang Timur bukan hanya dikenali dengan penilaian rupa bentuk fizikal sahaja. Akan tetapi kita mewarisi satu khazanah paling berharga yang yang menjadikan kita sebagai masyarakat Timur yang berwibawa. Budaya dan sistem nilai itulah yang sebenarnya menjadi kayu ukur dan mercu tanda sebuah negara maju.


Demikianlah betapa pentingnya peranan budi bahasa dan nilai-nilai murni dalam aspek kemajuan kita "sendiri" sebagai masyarakat timur atau masyarakat ‘melayu'. Kepentingannya adalah meliputi matlamat Malaysia yang mempunyai matlamat mencapai Wawasan 2020 dan menjadi bangsa yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang. Matlamat yang lebih penting di sebaliknya adalah menjadi sebuah masyarakat yang maju mengikut cara kita sendiri dengan erti kata menambahkan peningkatan hidup dan kemajuan tanpa mengurangi nilai-nilai penting khazanah bangsa kita sendiri.

SENYUM, SALAM, SAPA

Kecemerlangan, kegemilangan dan keterbilangan kita akan muncul sekiranya kita menjadi satu bangsa yang berpekerti mulia, tinggi budi bahasa dan baik bahasanya. Bagaimana?? pertama : Senyum
Kedua : Salam
Ketiga : Sapa

Budi Bahasa Budaya Kita

MULAKAN DENGAN DIRI SENDIRI

Kita sering kali mendengar pelbagai keluhan dalam akhbar mengenai rasa tidak puas hati orang ramai terhadap layanan buruk, kurang memuaskan dan kurang mesra di kaunter-kaunter perkhidmatan seperti bank, Jabatan Pengangkutan Jalan, pejabat pos dan sebagainya. Meskipun ada kebenaran di sebalik kebanyakan aduan itu, tetapi pernahkah kita bertanya adakah pengguna pengguna perkhidmatan di kaunter tersebut layak mendapat layanan yang terbaik.