Sunday, March 27, 2011

PANTUN BUDI BAHASA

Makan Capati berkasut but,
Memakai Turban di atas anjung;
Budi bahasa dikenang disebut,
Peribadi terpuji selalu disanjung.

Bunga Cina di atas batu,
Berbaju cheongsam benang dibuang;
Adat dunia memang begitu,
Sebab harta budi terbuang.

Batik dijemur di tepi pantai,
Ketupat palas dalm kemudi;
Biar buruk kain dipakai,
Budi yang ikhlas dikenang abadi.

Pakai sari jahitnya kemas,
Masak udang campurkan kari;
Banyak harta dan juga emas,
Budi Bahasa juga yang saya cari.

jika kita lihat pantun-pantu di atas semuanya berbicara tentang budi bahasa. keadaan ini menunjukkan budi bahasa merupakan sesuatu yang amat bernilai. Sekiranya sesebuah bangsa itu tidak mempunyai budi bahasa maka runtuhlah bangsa tersebut.

Tegak rumah kerana sendi,
Runtuh sendi rumah binasa;
Sendi bangsa ialah budi,
Runtuh budi runtuhlah bangsa.

BERBUDI BAHASA AKHLAK MULIA

Walaupun berbudi bahasa dan nilai-nilai murni itu secara istilahnya bukan disebut sebagai Akhlak mulia, namun ia tetap membawa maksud yang sama. Sesuai dengan galakan agama yang menyatakan kepentingan menjaga suara hati dan pertuturan sebagai garis permulaan mempertingkatkan budi pekerti diri. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa mendengar,lagi maha mengetahui." (Surah an-Nisa'ayat 148)

Rasulullah saw pernah bersabda yang maksudnya: "Sesungguhnya Allah menyukai sikap berlemah lembut dalam semua perkara."

Budi bahasa dan nilai-nilai murni harus dipraktikkan di setiap aspek kehidupan agar keindahan Islam itu akan memberi kesan baik yang menyeluruh terhadap kemaslahatan sesebuah masyarakat.

Masyarakat kini digesa untuk menghidupkan dan menghangatkan kembali nilai murni dalam kehidupan seharian. Walau apa pun status dan kerjaya kita sebagai seorang generasi millenium atau kita terlibat dengan penglibatan antarabangsa, maka berpasak teguhlah pada peribadi budi seorang yang berbudi bahasa.

PEMUPUKAN NILAI MURNI DALAM KALANGAN MASYARAKAT

Budaya berbudi bahasa dan mengamalkan nilai-nilai murni bukan sekadar perlu dipertahankan bahkan perlu diperkayakan lagi agar ia tidak mengalami kepupusan serta sentiasa berkesinambungan untuk diwarisi daripada generasi ke generasi seterusnya. Usaha kita mempertahankan budaya dan adat resam perlu juga disertai dengan aspek tingkah laku berbudi bahasa.

Malaysia memerlukan pembangunan nilai dan budaya yang betul. Nilai-nilai yang terlibat adalah seperti ketulusan, kejujuran, intergriti, adil, amanah dan akauntabiliti. Dengan ini, kita bukan sahaja mampu membentuk aspek pembangunan luaran semata-mata, akan tetapi perlu juga memperbaiki aspek dalaman yang dikenali sebagai aspek keperibadian untuk menjadikan masyarakat kita sebagai suatu masyarakat yang benar-benar bertamadun.

Kemajuan dunia merangsang kita untuk bekerja, berdaya maju dan berusaha. Tetapi jangan sampai kemajuan itu mengajarkan kita pada perkara yang sebaliknya. Iaitu mengurangi nilai-nilai murni yang sedia ada dan pernah menjadi suatu kebanggaan atau aset bangsa.

Setiap golongan dan peringkat memainkan peranan untuk bekerjasama mempertahan dan memperkukuhkan budaya menjadikan budi bahasa dan pengamalan nilai-nilai murni sebagai satu cara dan gaya hidup berkesinambungan.

Permulaan yang baik adalah bermula daripada institusi keluarga yang menekankan tanggungjawab memberi pendidikan berdasarkan autoriti ibu bapa kepada anak-anak. Permulaan daripada kelompok keluarga adalah lebih berkesan dan lebih sesuai dijadikan sebagai tempat berkesinambungannya khazanah budaya berbudi bahasa dan nilai-nilai murni.

ETIKA PERKHIDMATAN AWAM

Dalam memanfaatkan kepentingan budi bahasa dan pengamalan nilai-nilai murni sebagai satu agenda pembangunan material dan mentaliti, adalah suatu yang perlu untuk membudaya dan memperteguhkan etika kerja berdasarkan pendekatan tersebut. Anggota perkhidmatan awam dan jabatan-jabatan yang bertanggungjawab dalam perkhidmatan penguatkuasaan seperti polis, imigresen dan semua yang terlibat dengan khidmat pelanggan khususnya haruslah memberi perkhidmatan dengan penuh beradab. Tutur kata yang mesra, bersopan dan sentiasa membantu adalah tunggak kecemerlangan bagi sesebuah perkhidmatan.

Suatu masa dahulu, senario di sekitar pengangkutan awam pernah menggambarkan suasana kesopanan dan budi bahasa yang boleh dibanggakan. Namun sekarang, masyarakat boleh merasa malu untuk mempraktikkan nilai-nilai murni di khalayak ramai kerana keprihatinan telah berkurang sehingga boleh muncul mentaliti mempersenda nilai-nilai yang baik.

Secara tidak sedar, pelbagai gejala negatif akan boleh timbul akibat daripada kepupusan budi bahasa dan nilai murni. Orang timur pada kebiasaannya memang lemah lembut dan sensitif jiwanya terhadap budi bicara. Hubungan dan keharmonian boleh porak peranda hanya kerana kekurangan budi bahasa. Bak kata pepatah "Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa".

BUDI BAHASA DAN NILAI KHAZANAH

Malaysia hari ini, situasi negara semakin maju dan membangun dengan kepesatan dalam pelbagai bidang termasuklah pembangunan ekonomi, peningkatan kualiti hidup, masyarakat yang berilmu dan juga masyarakat yang berdaya maju. Masyarakat pula semakin sedar untuk hidup berlumba-lumba mempertingkatkan status kedudukan sebagai suatu kelompok yang berdaya maju dan bertanggungjawab terhadap hal ehwal dan permasalahan serta keperluan negara. Dengan sikap majoriti secara dominan sebagai suatu masyarakat produktif dan berwibawa, maka negara kita semakin menuju ke arah kecemerlangan, kegemilangan dan terbilang.

Di sebalik pembangunan fizikal dan kebendaan tersebut, kita sebagai masyarakat yang terbilang perlu mempunyai agenda tersendiri agar tidak semata-mata hanya mempunyai infrastruktur kelas pertama tetapi memiliki mentaliti kelas ketiga. Masyarakat perlu memperkukuh lagi aspek budi bahasa dan nilai-nilai murni yang semakin diabaikan sejak akhir-akhir ini.

Sebagai rakyat Malaysia kita perlu ada kesedaran mengenai asal usul dan acuan kita sendiri yang boleh dilabelkan sebagai "Orang Timur". Orang Timur bukan hanya dikenali dengan penilaian rupa bentuk fizikal sahaja. Akan tetapi kita mewarisi satu khazanah paling berharga yang yang menjadikan kita sebagai masyarakat Timur yang berwibawa. Budaya dan sistem nilai itulah yang sebenarnya menjadi kayu ukur dan mercu tanda sebuah negara maju.


Demikianlah betapa pentingnya peranan budi bahasa dan nilai-nilai murni dalam aspek kemajuan kita "sendiri" sebagai masyarakat timur atau masyarakat ‘melayu'. Kepentingannya adalah meliputi matlamat Malaysia yang mempunyai matlamat mencapai Wawasan 2020 dan menjadi bangsa yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang. Matlamat yang lebih penting di sebaliknya adalah menjadi sebuah masyarakat yang maju mengikut cara kita sendiri dengan erti kata menambahkan peningkatan hidup dan kemajuan tanpa mengurangi nilai-nilai penting khazanah bangsa kita sendiri.

SENYUM, SALAM, SAPA

Kecemerlangan, kegemilangan dan keterbilangan kita akan muncul sekiranya kita menjadi satu bangsa yang berpekerti mulia, tinggi budi bahasa dan baik bahasanya. Bagaimana?? pertama : Senyum
Kedua : Salam
Ketiga : Sapa

Budi Bahasa Budaya Kita

MULAKAN DENGAN DIRI SENDIRI

Kita sering kali mendengar pelbagai keluhan dalam akhbar mengenai rasa tidak puas hati orang ramai terhadap layanan buruk, kurang memuaskan dan kurang mesra di kaunter-kaunter perkhidmatan seperti bank, Jabatan Pengangkutan Jalan, pejabat pos dan sebagainya. Meskipun ada kebenaran di sebalik kebanyakan aduan itu, tetapi pernahkah kita bertanya adakah pengguna pengguna perkhidmatan di kaunter tersebut layak mendapat layanan yang terbaik.

Saturday, March 26, 2011

PESANAN ORANG LAMA

“Kita hendaklah berbudi bahasa apabila bercakap dengan seseorang”. Demikianlah pesanan orang tua-tua kita pada zaman dahulu yang menggambarkan bahawa amalan berbudi bahasa menjadi agenda penting dalam kehidupan masyarakat pada masa itu. Bagi mereka, pemilihan kata dan tingkah laku yang bersopan ketika berbicara amat tinggi nilainya dan perlu dipertahankan. Individu yang berbudi bahasa lebih disenangi oleh orang ramai. Lazimnya, pandangan mereka lebih mudah mendapat perhatian dan sokongan anggota masyarakat. Ertinya, mereka memperoleh pengiktirafan secara tidak langsung daripada masyarakat. dalam konteks negara kita yang berbilang kaum, amalan berbudi bahasa tidak kurang pentingnya dalam usaha melahirkan masyarakat yang saling menghormati antara satu sama lain. Situasi ini dapat mengeratkan perpaduan kaum untuk menjana kehidupan yang lebih harmoni. Bagi memastikan hasrat tersebut menjadi realiti, langkah kerajaan mengadakan Kempen Berbudi Bahasa amatlah wajar dan perlu disokong.
Sudah menjadi kebudayaan mahasiswa UPSI yang ingin menuruni bas ke kelas akan mengucapkan ‘terima kasih’ kepada pemandu bas UPSI. Budaya ini saya lihat begitu baik sekali. Yang tua dihormati. Yang muda dikasihi.

BAHASA DAN SISTEM

Dalam sesebuah komuniti bahasa ada sistem bahasanya. Bagi komuniti ekabahasa, isitem bahasanya terdiri daripada subsistem yang tertentu. Subsistem bahasa inilah yang dikatakan sebagai variasi bahasa bagi sesebuah bahasa. Oleh hal yang demikian, variasi bahasa merupakan kelainan bahasa yang terdapat dalam bahasa induknya. Variasi bahasa tersebut mungkin terdiri daripada idiolek, dialek, laras, slanga, jargon, argot, dan kod bahasa yang lain yang wujud dalam sesebuah bahasa. Dialek ialah subvariasi bahasa. Penggunaan bahasa dialek di dalam kelas semasa membentangkan kertas kerja sering berlaku di dalam kelas. Sungguhpun situasi ini sering ditegur oleh pensyarah-pensayarah namun sifat ‘ cintai bahasa negeri’ menebal di dalam diri mahasiswa. Sebenarnya penggunaan bahasa dialek tidak salah sekiranya disesuaikan dengan keadaan dan situasi. Namun jika berbalik kepada situasi formal di dalam kelas, pelajar tidak boleh memandang ringan masalah ini. Kepekaan mereka terhadap bahasa formal perlu ditingkatkan.


Dalam rancangan-rancangan hiburan contohnya anugerah seni dan sebagainya, golongan artis sering menggunakan bahasa yang salah serta sangat gemar menggunakan bahasa rojak. Perkataan ‘we all dan you all’ menjadi kosa kata biasa yang sering digunakan oleh golongan ini. Barang kali kerana tidak pernah ditegur, maka artis baharu yang mungkin menganggapnya suatu gaya, di samping ingin menunjukkan bahawa mereka pandai berbahasa Inggeris, turut terikut-ikut.

RAGAM BAHASA ELEKTRONIK

Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa penggunaan bahasa yang baik dan betul merupakan antara syarat penting untuk kita berkomunikasi dengan jayanya sesama manusia. Untuk mencapai tujuan ini, bahasa bertindak melalui satu set hukum dan peraturan yang sudah pun tersedia di dalamnya yang dikenal sebagai tatabahasa. Tatabahasa antaranya melibatkan penyusunan perkataan yang tepat dan sesuai mengikut sistem linguistic sesuatu bahasa agar ungkapan yang dihasilkan dapat difahami dengan baik. Apabila penyusunan perkataan itu akur kepada hukum dan peraturan yang ditetapkan, ungkapan yang terbentuk itu dianggap sebagai bentuk-bentuk “bahasa yang baik”.
Ragam bahasa dalam komunikasi elektronik nampaknya semakin menular parah dalam masyarakat kebanyakan. Penggunaan bahasa yang ringkas serta percampuran kod sudah menjadi kebiasaan. Antaranya penggunaan bahasa dalam sistem pesanan ringkas ( SMS ). Contoh ini saya ambil daripada mesej yang dihantar oleh rakan saya kepada saya tempoh hari. Mesej itu berbunyi,
‘...klah, jaga diri, jaga kesihatan n jgn lupa Tuhan. Bye, miss u so much...’

PENCEMARAN BAHASA DALAM PENULISAN NOVEL

Percampuran bahasa Melayu-bahasa Inggeris ini didapati didorong oleh pelbagai sebab, sama ada yang bersifat sedar ( misalnya untuk menyatakan status sosial tinggi yang dikaitkan dengan martabat bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia atau antarabangsa) mahupun yang bersifat tidak sedar ( kerana tidak tercapai perkataan bahasa Melayu yang diperlukan pada suatu ketika itu ). Penukaran kod atau penggunaan bahasa rojak yang berleluasa dalam kalangan masyarakat Malaysia kebanyakannya berlaku pada tahap perkataan dan frasa sahaja, dengan memperlihatkan penyisipan perkataan dan frasa Inggeris – yang tidak merupakan kata-kata pinjaman – semasa bahasa Melayu. Bahasa Melayu masih merupakan bahasa utama dan bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa alternatif sahaja untuk menyampaikan bahagian tertentu dalam sesuatu percakapan, perbualan dan wacana. Dengan perkataan lain, klausa dan ayat bahasa Melayu disisipkan dengan perkataan dan frasa bahasa Inggeris.

‘ I don’t think cara ini akan berjaya. Because you see, cara ini tak praktikal.’

Bahasa rojak ini saya peroleh dalam sebuah novel cinta tempatan yang kini menjadi kegilaan para remaja termasuklah pelajar-pelajar di institusi tempatan. Lambakan novel cinta remaja di pasaran menjadi suatu fenomena baru dalam penghasilan karya-karya di alaf baru. Penggunaan bahasa rojak dalam novel kurang dititikberatkan sedangkan produk ini melibatkan pelanggan yang terdiri daripada segenap lapisan mahupun taraf pendidikan. Penggunaan bahasa rojak boleh mencemarkan bahasa Melayu. Hal ini amat dikesali

BAHASA 'KACUKAN'

Istilah atau frasa “bahasa rojak” yang digunakan untuk merujuk kepada bentuk dan penggunaan yang mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris sebenarnya memperlihatkan sikap masyarakat Malaysia yang tidak senang dan kesal terhadap ragam “bahasa kacukan” ini. Istilah bahasa rojak, di samping lucu ( kerana mengaitkan percakapan dengan sejenis makanan yang sifatnya yang bercampur aduk ) membawa pengertian yang bukan sahaja merendahkan dan memperkecil ragam bahasa Melayu, amlah mencemuh serta menghina bentuk dan penggunaan bahasa Melayu dengan bentuk sedemikian. Bahasa rojak juga membawa pengertian bahawa ragam bahasa Melayu ini boleh membawa aib kepada peradaban Malaysia amnya, dan peradaban Melayu khasnya.

Contohnya kesalahan penggunaan bahasa turut dapat dikesan dalam drama-drama tempatan yang disiarkan di televisyen. Antara yang sempat saya kesan ialah dialog dalam sebuah drama terkenal yang disiarkan iaitu,

‘Anyway, dah pukul satu dah, I have to go now’

Penggunaan bahasa rojak ini menggambarkan kebiasaan komunikasi harian yang digunakan dalam masyarakat. Hal ini menunjukkan rasa bangga dan megah terhadap bahasa Melayu dalam diri penerbit drama-drama tempatan telah terhakis. Penggunaan dialog seperti sebenarnya boleh memberikan impak yang besar terhadap perkembangan bahasa Melayu itu sendiri dalam kalangan generasi baru.

DI MANA BUMI DIPIJAK DI SITU LANGIT DIJUNJUNG

Iklan yang dihasilkan oleh agensi periklanan antarabangsa kebanyakannya dibuat dalam bahasa Inggeris. Peranan penulis iklan yang menguasai bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang mantap terhasil apabila beliau berjaya menterjemahkan maksud sebenar ilan berbahasa Inggeris. Tidak semua iklan luar negara perlu diterjemahkan secara langsung ( direct translation ) kerana maksud tersirat dan mesej yang ingin disampaikan adalah berbeza jika sesuatu frasa ayat itu diterjemahkan perkataan demi perkataan. Sesebuah iklan juga akan nampak kaku dan terlalu rigid serta tidak mesra pengguna jika diterjemahkan secara langsung daripada iklan luar negara yang memperkenalkan jenama antarabangsa.

“Panasonic ideas for life”

Menurut saya, sepatutnya apabila iklan-iklan yang memaparkan produk luar negara dalam negara ini disiarkan, slogan tersebut juga perlu ditukar mengikut bahasa rasmi negara ini. Tidak ada cacat celanya sekiranya bahasa Melayu ditukarkan untuk menggantikan slogan bahasa Inggeris tersebut. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

PENGGUNAAN ISTILAH

Pengguna bahasa sering menghadapi kekeliruan tentang penggunaan istilah yang betul dan tepat. Istilah bermaksud kata atau gabungan kata yang menerangkan suatu makna, konsep, proses, keadaan, atau sifat yang khas dalam bidang tertentu. Kata pulaadalah bentuk bebas yang terkecil yang mempunyai makna atau berfungsi, atau gabungan satu atau lebih daripada satu bentuk bebas tersebut sehingga menjadi satu kesatuan unit yang membawa makna tertentu.

Dalam kelas seorang kawan berbangsa India menyatakan kepada kawan-kawannya yang turut terdiri daripada saya sendiri bahawa dia kurang sihat. Perkataan ‘ sesungut’ digunakan bagi mewakili kesakitan ketika datang bulan. Sepatutnya perkataan ‘segugut’. Di situ menunjukkan kosa kata yang salah dan silap konteks dalam berbahasa

TERLAJAK PERAHU BOLEH DIUNDUR, TERLAJAK KATA BURUK PADAHNYA

Dari sudut sejarah peradaban bangsa, bangsa Melayu ialah masyarakat yang erat hubungan kemasyarakatannya, mempunyai persefahaman, dan hidup bertoleransi seperti “ibarat aur dengan tebing”. Sehubungan itu, orang Melayu sangat berhati-hati ketika berkomunikasi dan jarang-jarang sekali cuba untuk menyinggung perasaan orang lain dengan bahasa yang kesat. Malah, sejak dahulu lagi, bangsa Melayu memiliki peribadi yang istimewa selain terkenal dengan ciri-ciri ketimuran seperti lemah-lembut, beradab, dan berbudi bahasa. Bahasa orang melayu merupakan lambang kesopanan dan kehalusan budi pekerti penuturnya.
Bahasa menunjukkan bangsa. Kelembutan dalam bahasa Melayu menjadi pegangan dan amalan penting dalam kehidupan bermasyarakat agar seseorang itu dihormati. Kepentingan budi bahasa terungkap dalam pantun Melayu, contohnya :

Tegak rumah kerana sendi,
Runtuh sendi rumah binasa;
Sendi bangsa ialah budi,
Runtuh budi, runtuhlah bangsa.

Sungguhpun begitu, sifat berhati-hati dalam berkomunikasi begitu berbeza sekali dengan huarain di atas. Sikap orang Melayu seperti ini terdiri daripada mahasiswa UPSI sendiri semasa berlangsungnya kempen pemilihan calon MPP. Situasi ini saya peroleh sekitar Kolej Harun Amirurrashid sepanjang berlakunya perbentangan manifesto sepanjang kempen pemilihan calon MPP. Pelbagai perkataan yang kurang enak didengar hinggap di telinga saya. Ada pihak yang kurang senang dengan individu-individu atau calon-calon tertentu yang bertanding untuk menjadi MPP seperti perkataan “ cakap lebih, tapi ‘hampeh’, ‘poyo’, ‘koya’, ‘berlagak’ dan lain-lain yang kurang mesra didengari. Bagi saya semua calon berhak mempertahaknkan hujan masing-masing. Jadi cemuhan yang dikeluarkan tidak patut keluar dari mulut bakal cikgu yang bergelar mahasiswa. Dari situ saya boleh simpulkan ‘ terlajak perahu boleh berundur, terlajak kata buruk padahnya’.

BETULKAN YANG BIASA, BIASAKAN YANG BETUL

Sepanjang sebuah seminar bahasa yang berlangsung di Auditorium UPSI, saya dapat mengesan kesalahan bahasa yang digunakan oleh moderator atau pengerusi majlis. Seminar bahasa yang berlangsung itu menerima dif-dif jemputan tokoh bahasa di Malaysia berpangkat Profesor Emeritus.

Saya dapat mengesan penggunaan kosa kata bahasa Inggeris seperti “search”, “so”, “advance” digunakan dengan kerap kali. Pada pandangan saya, kebiasaan penggunaan kosa kata Inggeris dalam perbualan sosial pewawancara itu, telah mempengaruhi nilai berbahasa beliau sungguhpun hanya kesilapan kecil. Namun, dalam konteks seminar yang membincangkan isu bahasa, kesilapan kecil itu mencacatkan seminar tersebut sungguh pun seminar itu berlangsung dengan ceria. Nampaknya bahasa rojak sudah semakin menular sehinggakan kesalahan penggunaan bahasa Inggeris dalam situasi formal tidak disedari oleh pengacara majlis yang dianggap golongan peka bahasa itu. Jadi saya membuat kesimpulan bahawa setiap lapisan masyarakat sama ada pemimpin, tokoh bahasa, pendidik, pelajar atau sesiapa sahaja harus mempunyai semangat dan komitmen yang jitu dalam memastikan kelestarian bahasa Melayu. Pastinya kita tidak mahu yang sudah diperjuangkan sekian lama sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara, berkubur begitu sahaja. Di situ saya teringat ungkapan yang berbunyi ‘betulkan yang biasa, biasakan yang betul’

CABARAN BAHASA MELAYU MASA KINI

Pada suatu majlis yang berlangsung sepanjang karnival pesta buku di Kolej Harun Aminurrashid berlangsung, saya bersama-sama rakan-rakan bersiar-siar di kawasan gerai-gerai. Suasana bising tawar-menawar memeriahkan karnival tersebut. Cuping saya menangkap perbualan seorang pelajar perempuan bersama rakannya sewaktu ingin memilih kain pasang cotton yang menjadi kegilaan remaja masa kini. Perbualannya berbunyi seperti ini,

“Aini ( bukan nama sebenar ), hang tengok cantik tak warna nie? Colouring. I suke warna die. Bright. Oren..hurm..not bad.. I nak choose yang ni lah. Bikin hot lah pakai baju baru”. Disertai dengan tawa.

‘ Orait. Suke hati kau lah. Aku nak yang warna hijau. Warna oren apa kelas beb. Bukan class i ok?” Turut disertai dengan ketawa’

Penggunaan bahasa slanga dan rojak dalam bahasa dilihat sudah menjadi suatu ‘trend’ atau gaya kepada remaja masa kini termasuk mahasiswa yang sukar untuk dibendung. Golongan masyarakat tidak kiralah status sosial, pendidikan dan sebagainya suka mencampuradukkan penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu dalam perbualan harian mereka sehingga lahirlah penggunaan “bahasa rojak” yang semakin berleluasa dan sukar untuk dibendung. Fenomena yang menjurus pada pencemaran bahasa ini bukan sahaja menonjolkan ketidakyakinan mereka terhadap bahasa Melayu, tetapi turut menyerlahkan ketidakfasihan mereka dalam kedua-dua bahasa tersebut. tambah membimbangkan fenomena bahasa rojak ini semakin berleluasa sehingga melibatkan acara rasmi. Bahasa Melayu banyak melalui cabaran dan rintangan dalam mengekalkan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di negara ini. Cabaran dan rintangan tersebut bukan sahaja datang dari luar, malahan turut berpunca daripada sikap penutur bahasa Melayu itu sendiri.

ROJAK, ROJAK, ROJAK..

‘Bunyi macam koleksi hits terbaik orang lama, dah ku kata takkan sampai tua bangka, kalau habis abjad aku rap dengan angka’

Barisan ayat tersebut merupakan barisan lirik dalam lagu Senyum oleh Malique dan Najwa. Penggunaan bahasa Inggeris “hits” digunakan dalam lirik lagu ini. Penggunaan bahasa rojak dalam lirik lagu Melayu bukan sekdar menghasilkan lagu rojak, tetapi turut merendahkan martabat bahasa kebangsaan dan akan menyebabkan bangsa Malaysia kehilangan identiti bangsa dan budaya. Lirik lagu merupakan stu daripada kaedah berbahasa dan harus digunakan sebagai ruang mengungkapkan fikiran dan budaya bangsa Malaysia. Penulis lirik dan pencipta lagu tidak sepatutnya menggunakan bahasa rojak dengan alasan bahawa bahasa rojak sudah menjadi aliran dalam penggunaan bahasa generasi kini. Kebebasan berkarya yang diberikan kepada penggiat seni bukanlah satu kebebasan mutlak. Penggiat seni jug sepatutnya memikirkan tanggungjawab sosial kerana karya yang dihasilkan oleh mereka turut memberikan kesan kepada masyarakat, terutamanya generasi muda. Pendedahan bahasa rojak yang terlalu banyak dalam lagu-lagu tempatan boleh mempengaruhi remaja terutama pelajar sekolah dalam lisan mahupun tulisan.

BAHASA DAN IKLAN

Bahasa dan iklan mempunyai unsur kaitan yang amat rapat. Daripada bahasa yang mengandungi undur propaganda dan pujuk rayu, peniaga atau pengiklan berjaya memikat hati pengguna untuk membeli barangan atau perkhidmatan mereka. Walaupun demikian, pengabaian pengiklan terhadap soal bahasa itu sendiri amat dikesali.

“Ia kejuruteraan bendalir”

Penggunaan perkataan ‘ia’ bagi menggantikan bukan manusia adalah merupakan kesalahan bahasa. Slogan ini saya peroleh dalam sebuah iklan minyak di televisyen yang sering disiarkan. Kesalahan demikian sedikit sebanyak memperngaruhi sebahagian besar pembaca termasuklah pelajar yang menerima bentuk-bentuk kata tersebut. Tidak dinafikan, kebiasaan membaca bentuk perkataan yang salah atau bentuk ayat yang tidak betul strukturnya boleh mngakibatkan kesalahan tersebut diulangi dalam peperiksaan oleh pelajar. Nampaknya, masalah penggunaan bahasa Melayu dalam iklan masih lagi tidak dapat diatasi di negara ini. Hal ini berpunca daripada sikap mempermudah bahasa itu sendiri yang begitu menonjol dalam kalangan masyarakat. Masyarakat msih lagi menyerahkan tugas mendaulatkan bahasa Melayu sepenuhnya kepada pihak tertentu, khususnya kerajaan.

BAHASA ROJAK

Saya suka mengikuti rancangan stesen radio Inggeris tempatan kerana rancangannya sangat menarik di samping dapat memperkayakan kosa kata bahasa Inggeris. Bahasa yang digunakan mudah difahami. Sungguhpun begitu, stesen video ini suka menggunakan bahasa rojak ketika menghubungi pelanggannya dalam rancangan ‘ GOTCHA’. Antara yang saya kesan penggunaan bahasa rojak yang mencampurkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam salah satu rancangan tersebut ialah,

“I want to tell u that u’r license tidak diluluskan’ i felt so sorry. I can’t to help u. U kena repeat sekali lagi”

Kemudian mangsa rancangan tersebut menjawab dengan marah,

“How could u tell me i jangan marah. I memang agry! U stupid or apa?”

Saya membuat kesimpulan bahasa sepatutnya stesen radio Inggeris di negara ini perlu menggunakan bahasa Inggeris secara sepenuhnya. Bukan mencampuradukkan bahasa sehingga merosakkan bahasa Melayu. Penyampai radio perlu peka dan menyahut seruan kerajaan untuk menggunakan bahasa dengan betul kerana apa sahaja yang diperkatakan akan menjadi ikutan atau ‘trend’ kepada remaja pada masa kini.

KETINGGIAN BUDI CERMINAN JATI DIRI

Masyarakat Melayu begitu menghargai dan menjunjung tinggi budi. Masyarakat Melayu juga menilai segala sesuatu itu berdasarkan budi. Buktinya, kecantikan seseorang bukan dinilai pada paras rupanya, tetapi dinilai pada budi bahasanya. Manusia akan dipandang hina jika tidak berbudi bahasa dan satu-satu bangsa itu pula akan runtuh jika budinya runtuh. Berbudi bahasa juga merujuk kepada asas penggunaan bahasa yang tepat dan sopan. Bahasa yang dilafazkan hendaklah mengandungi maksud yang baik dan nilai-nilai yang murni serta dilafazkan dengan nada yang elok dan jelas maksudnya. Penggunaan bahasa yang kasar dan dilafazkan dengan terpekik-pekik serta bercampur dengan bahasa lucah hendaklah dihindarkan kerana boleh mempengaruhi pendengarnya, khususnya kanak-kanak.

Namun, bahasa mesra yang tidak mesra semakin menjdi-jadi dan menjadi budaya “positif” dalam pergaulan terutamanya remaja. Begitulah sikap segelintir pemuda pemudi zaman sekarang. Perempuan mahupun lelaki. Masing-masing menampakkan atau menunjukkan keakraban persahabatan dengan menggunakan bahasa yang kurang sopan. Contohnya perkataan “bangang”, “gila”, “cis”, dan sebagainya menjadi suatu kebiasaan. Sungguhpun nampak keakraban yang timbul, tetapi bahasa mencerminkan nilai seseorang penutur yang menuturkan sesuatu bahasa. Situasi sebegini turut berlaku kepada mahasiswa. Yang kurik itu kendi. Yang merah itu saga. Yang baik itu budi. Yang indah itu bahasa

PANTUN MELAYU PERENCAH BAHASA

Sepanjang berlangsungnya SEMINAR DISKUSI ILMIAH : KELANGSUNGAN TATABAHASA DEWAN DAHULU DAN KINI, majlis yang menerima dif-dif jemputan antaranya Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim, majlis dimulakan dengan pantun Melayu. Pantun Melayu itu diungkapkan dengan begitu indah dan sangat menarik oleh pengerusi majlis. Di situ timbulnya suasana ‘kemelayuan’ yang bersesuaian dengan isu perbincangan atau diskusi berkaitan dengan bahasa Melayu. Saya melihat pantun Melayu mampu memurnikan komunikasi yang mewujudkan suasana ceria dan santai di samping menunjukkan ketinggian nilai warisan nenek moyang kita. Pantun yang digunakan ialah antaranya berbunyi,

Tingkap papan kagu bersegi,
Sampan sakat di Pulau Angsa,
Indah tampan kerana budi,
Tinggi bangsa kerana bahasa.

RAGAM BAHASA MASA KINI

Ragam bahasa ini saya peroleh dalam sembang internet dalam sebuah laman web sosial . Petikannya berbunyi seperti ini,

‘Citer yang sama wa dengar medang....exactly....that girl bunuh diri tak silap...since then, tempat tu haunted, langsung bankrupt...tapi till now the building is still there. Dgr kata tak leh kena roboh, sat lagi ada jek yg dtg mengganggu lak kang...’

Petikan di atas penuh dengan kata Inggeris, seperti “exactly”, “that girl”, “since then”, “haunted”, “bankrupt”, “now”, dan “building still there”. Perkataan Mandarin seperti “chow” juga digunakan untuk menggantikan perkataan pergi. Ragam bahasa seperti ini menjadi cabaran kepada perkembangan Bahasa Melayu ekoran perkembangan teknologi maya. Dengan kerancakan perkembangan ragam bahasa seumpama ini sudah tentu akan mewujudkan suatu budaya berbahasa dalam kalangan pengguna bahasa yang agak banyak bilangannya. Dalam budaya ini seolah-olah sudah timbul semacam keadaan “semua boleh” dalam hal penggunaan bahasa. Dalam komunikasi ini gaya yang dipersembahkan ialah gaya bertaraf rendah yang menunjukkan tahap keformalan yang rendah. Kelihatannya kecekapan berbahasa tidak dititikberatkan dalam hal komuniksi hari ini.

BAHASA SIBER

Teks komunikasi elektronik dalam bahasa Melayu untuk mel elektronik, pesanan ringkas ataupun sembang siber dalam kalangan pengguna internet persendirian, pada umumnya berada pada “tahap pengucapan yang paling rendah”. Hal ini kerana kandungan teks itu diucapkan dalam pelbagai ragam ragam tulisan dan disampaikan dalam bentuk yang amat daif daripada pelbagai aspek linguistik, khususnya dari segi ejaan dan tatabahasa.

‘Orang sekarang letak nilai mas kahwin tinggi2, depend kepada tahap pendidikan akademik'

Berikut merupakan salah satu contoh kesalahan bahasa yang saya peroleh melalui laman sosial Facebook. Perkataan ‘ depend’ digunakan bagi menggantikan perkataan ‘ bergantung’ dalam bahasa Melayu serta ‘tinggi2’ dieja dengan menggunakan angka dua (2) untuk menggantikan perkataan ‘tinggi-tinggi’. Kesalahan berbahasa tersebut merupakan kesalahan yang terlalu biasa digunakan oleh golongan remaja mahupun pelbagai peringkat umur. Bentuk bahasa Melayu begini, sama ada dianggap sebagai kesalahan atau pun pembaharun, merupakan ciri bahasa Melayu yang digunakan oleh pengguna internet persendirian semasa berkomunikasi secara elektronik. Bentuk bahasa begini yang sarat dengan penyingkatan, baik daripada perkataan dan ungkapan bahasa Melayu atau pun bahasa Inggeris, ia memperlihatkan “pemesongan” yang amat ketara daripda bentuk baku yang lazim digunakan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Begitu parahnya bahasa Melayu dalam kalangan generasi masa kini.

Sunday, March 20, 2011

BAHASA, KOMUNIKASI DAN MASYARAKAT

Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.

Keindahan yang terdapat dalam peribahasa di atas melambangkan bahawa salah satu aspek paling penting dalam komunikasi ialah bahasa yang baik dan penuh sopan santun. Komunikasi dalam masyarakat Melayu terkenal dengan tutur kata yang lemah lembut, beradap sopan, halus budi bicaranya. Bak kata Usman Awang dalam sebuah sajaknya yang berbunyi :

Melayu itu orangnya bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan

Namun, mutakhir ini ledakan teknologi dalam era serba canggih ini yang meliputi pelbagai aspek kehidupan kita telah banyak mengubah cara berkomunikasi dalam masyarakat kita. Ramai sudah lagi tidak mempedulikan kesopanan dalam berbicara. Seiring dengan perkembangan teknologi moden dan media baru. Penggunaan sistem Pesanan Ringkas (SMS) contohnya sedikit sebanyak memberi kesan negatif dalam komunikasi. Keadaan ini adalah disebabkan masyarakat itu sendiri yang tidak manfaatkan teknologi tersebut sebaik-baiknya. Apa yang lebih buruk lagi, penggunaan bahasa SMS diselitkan pula dengan bahasa yang kurang sopan contohnya :

“ Weh! Ko katne? “

Ayat tersebut jelas menunjukkan bahasa yang kasar dan tidak sopan. Namun, itulah hakikat budaya masyarakat kita hari ini khususnya remaja. Selain dari aspek percakapan, adakalanya kita dapat melihat dan mendengar mengenai kelakuan kurang sopan remaja kita seperti gambar di bawah :




Di samping itu,golongan dewasa dan tua juga tidak terkecuali daripada melakukan perkara-perkara seperti remaja lakukan malah ada yang lebih teruk lagi dari segi percakapannya yang biadap dan juga tingkah lakunya. Keadaan ini amat memalukan negara kita yang asalnya kaya dengan nilai budi bahasa dan tingkah lakunya yang baik, sopan dan lemah lembut. Adakah ini harga yang perlu dibayar bagi sebuah pembangunan???

Saturday, March 19, 2011

BAHASA SEBAGAI WADAH UNTUK MENGENAL ALLAH

Bahasa adalah alat mengenal Tuhan berdasarkan ayat pertama yang bermaksud:
"Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhan Yang menciptakan".
(Surah al-'Alaq: 1)

Bahasa adalah ilmu yang diajarkan oleh Allah s.w.t. berdasarkan ayat yang bermaksud:
"Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (perkataan-perkataan) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para Malaikat lalu berfirman: "Sebutkanlah kepada-Ku nama-nama itu jika kamu memang orang-orang yang benar".
(Surah al-Baqarah:31)

Bahasa adalah lambang kesempurnaan kejadian manusia berdasarkan ayat yang bermaksud:
"Sesungguhnya Kami telah mencipta manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya". (Surahal-Tin:4)

Bahasa adalah alat untuk menusia beribadat kepada Allah berdasarkan ayat yang bermaksud:
"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu".
(Surah al-Zariyat:56)

Bahasa adalah alat interaksi manusia berdasarkan ayat yang bermaksud:

"Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal".
(Surah al-Hujurat : 13)

Bahasa adalah alat manusia berfikir berdasarkan ayat yang bermaksud:

"Sesungguhnya Kami menurunkannya berupa al-Quran dengan berbahasa Arab agar
kamu berfikir”
(SurahYusuf:2)

Bahasa bukti kekuasaan Tuhan dalam mencipta organ pertuturan manusia berdasarkan ayat yang bermaksud:

"... dan Dia menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati (tetapi) kamu sedikit sekali bersyukur".
(Surah as-Sajjdah : 9)





Bahasa adalah media kehidupan bersosial berdasarkan ayat yang bermaksud:

"(Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan) yang menyakitkan hati. Dan (ingatlah) Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun”
(surah al-Baqarah: 263)

Bahasa adalah media dakwah berdasarkan ayat yang bermaksud:

"Serulah ke jalan Tuhanmu dengan penuh hikmah (perkataan yang tegas dan benar yang dapat membezakan antara yang hak dengan yang batil) dan peringatan (dengan cara) yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang terbaik".
(Surah al-Nahl: 125)

BAHASA MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

Bahasa ialah wahana tamadun. Dalam konteks tamadun Islam, medium terawal yang mengungkapkan segala aspek ketamadunannya ialah bahasa Arab atas sifatnya sebagai bahasa al-Quran. Pemilihan bahasa Arab sebagai bahasa kitab suci yang terakhir memperlihatkan kekuatan dan keupayaannya sebagai bahasa agama yang saintifik, rasional, dan bersifat ilmu pengetahuan (Syed Naquib 1972: 37). Pemilihan bahasa Arab perlu juga dianggap sebagai simbol kelahiran serta kemantapan bahasa-bahasa lain yang turut menyumbangkan peranan yang besar dan penting ke arah pembinaan dan perkembangan tamadun Islam di seluruh pelosok dunia termasuklah bahasa Melayu di Nusantara.

Ibnu Khaldun (1331-1406M) menerusi karya agungnya Muqaddimah Ibni Khaldun meletakkan syarat bahawa kekuatan tamadun Islam hanya akan dapat disaksikan apabila penggunaan bahasa dijadikan sebagai "syiar agama" (t.t.: 420) dan dalam konteks ini, bahasa yang dimaksudkan beliau ialah bahasa Arab. Kekuatan bahasa itu sekali gus menjadi kekuatan kepada aspek-aspek lain yang akhirnya menghasilkan pula kekuatan kepada tamadun tersebut itu sendiri. Itulah yang berlaku kepada tamadun Islam. Bahasa dapatlah didefinisikan sebagai satu sistem komunikasi manusia yang terdiri daripada bunyi-bunyi berstruktur (atau yang bertulis) kepada unit yang lebih besar seperti morfem, perkataan, ayat (Richards, Platt & Platt 1992:196) yang dihasilkan oleh organ pertuturan untuk membolehkan manusia berinteraksi antara satu sama lain (Anis:1973:14). Inilah juga definisi yang dikemukakan oleh al-Quran menerusi ayat yang bermaksud:

"Tidakkah engkau lihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu kalimah yang baik adalah sebagai batang pokok yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Ia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah membuat perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat dan mendapat pelajaran".
(Surah Ibrahim: 24-25)

Dalam erti kata lain, bahasa yang baik lagi bernilai terhasil daripada budi dan sopan santun serta bertitik tolak daripada keimanan, ketaqwaan, dan amal saleh yang akhirnya membawa keamanan dan menghasilkan kesejahteraan kepada kehidupan manusia di dunia dan di akhirat. Inilah konsep bahasa yang diperjuangkan oleh Islam.

SEJAUH MANAKAH KITA MENGAMALKAN BUDI BAHASA??

Rakyat Malaysia sememangnya terkenal dengan amalan berbudi bahasa tetapi sejauh manakah kita mengamalkan budi bahasa itu?. Kita sebagai rakyat Malaysia sememangnya terkenal dengan sikap:

-Menghormati Orang Lain Walau di Mana Kita Berada


-Beratur ketika di jalan raya




-Beratur Ketika Menaiki Kenderaan Awam



-Menghormati Orang Yang Lebih Tua



-Membantu Orang Kurang Upaya


Adakah setakat itu sahaja amalan yang menunjukkan budi bahasa kita? Jika kita lihat fenomena terkini iaitu pada era globalisasi ini, nilai budi bahasa dalam kalangan masyarakat kita kian terhakis khususnya dalam kalangan golongan remaja. Oleh yang demikian, semua pihak wajib memainkan peranan dalam membentuk semula nilai-nilai murni dalam generasi kita yang kian luntur.

TIADA BAHASA DALAM BAHASA

Hari ini kita dikejutkan dengan kejadian gempa bumi dengan 8.9 Rithcer sekali gus telah menyebabkan Tsunami telah melanda negara Jepun. Apa yang berlaku di Malaysia?? Suatu yang mengejutkan apabila gambar di bawah ini telah terpampang di salah sebuah akhbar di Malaysia.



Gambar ini menyifatkan ketidaksopanan dan tiada budi bahasa atau ‘ajar’ bagi orang melakarkan gambar seperti ini adalah kurang. Sifat seperti inikah yang melambangkan rakyat Malaysia yang berbudi bahasa dengan masyarakat dunia. Gambar tersebut menggambarkan ‘Ultraman’ melarikan diri daripada tsunami. Adakah hal ini kita melihatnya sebagai sebuah jenaka?? Sekiranya Tsunami berlaku di negara kita dan rakyat negara lain melakarkan gambar tersebut di akhbar mereka, apakah perasaan kita??

BUDI BAHASA AMALAN DI KAUNTER

Menorah getah di lading Pak Leman,
Balik ke rumah jalan bersama;
Selamat datang pembaca budiman,
Budi bahasa jadikan amalan.



Gambar di atas menunjukkan scenario yang sering berlaku pada hari ini. Keadaan ini menunjukkan akhlak masyarakat kita pada hari ini berada pada tahap yang rendah. Mengikut kamus al-Mu’jam al-mufahras Li Al Faz, al-Mukhit akhlak berasal daripada kalimah al-khuluq yang membawa empat pengertian iaitu perangai, tabiat, maruah dan agama. Manakala mengikut kamus lisan al-Arabi, akhlak bermaksud tingkah laku seseorang yang telah menjadi tabiat dan merupakan satu gambaran bagi menunjukkan zahir dan batin seseorang. Akhlak dari segi bahasa membawa erti budi pekerti, adab sopan, tingkah laku, dan tatasusila. akhlak didefinisikan sebagai satu sifat bagi diri melalui jiwa yang melahirkan nilai baik atau jahat. Secara ringkasnya, akhlak sebagai suatu kebiasaan tingkah laku yang mengarah kepada kebaikan atau kejahatan dengan tujuan untuk mencapai kebahagiaan.

Saya ingin bincangkan akhlak dari satu aspek sahaja di sini iaitu dari aspek adab sopan. Berdasarkan gambar yang dipaparkan di atas kita dapat lihat pekerja di kaunter itu memarahi seorang warga emas. Perbuatan seperti itu tidak seharusnya bertindak seperti itu. Perbuatan pekerja di kaunter tersebut hanya memberi gambaran negatif kepada diri sendiri malah ia juga akan memberi tanggapan negatif masyarakat kepada sesebuah syarikat atau pun institusi. Kita tidak seharusnya memasukkan unsur emosi dalam perkhidmatan kita. Kita perlu ingat tujuan kita bekerja adalah untuk berkhidmat untuk masyarakat. Maka, kita perlulah mempersembahkan hasil kerja yang terbaik untuk masyarakat. Betul kenyataan bahawa pekerja juga manusia dan mempunyai hati dan perasaan, tetapi sebagai kakitangan awam kita harus bijak mengawal emosi kita agar tindakan kita dapat dikawal daripada melakukan tindakan-tindakan yang tidak wajar terjhadap orang lain seperti dalam gambar di atas. Apabila berlaku perkara seperti itu, kita telah mencabuli hak orang lain (pelanggan) yang berhak mendapat layanan yang sebaiknya semasa berurusan di kaunter. Sekiranya pekerjaan tersebut membuatkan kita tidak gembira, tiada pihak yang memaksa kita untuk terus bekerja di tempat tersebut. Jika pekerjaan tersebut membuatkan kita tidak menunaikan hak pelanggan, sebagai kakitangan awam kita boleh mencari pekerjaan lain yang sesuai dengan jiwa dan membuatkan orang di sekeliling kita senang dengan perkhidmatan kita.
Oleh itu, marilah kita jadikan budi bahasa amalan di kaunter.

Tuesday, March 15, 2011

NILAI BAHASA


Bahasa Melayu kini lebih kukuh setelah kedatangan Islam kerana sifat agama Islam sebagai agama ilmu. Cabaran utama kepada Bahasa Melayu masa kini adalah untuk menjadikannya sebagai “bahasa siber” setaraf dengan kedudukannya sebagai bahasa kelima dunia yang dituturkan oleh sekitar 300 juta orang. Fungsi dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu perlulah dipertahankan, bukannya diabaikan. Negara yang mengabaikan bahasanya sendiri akan meninggalkan kesan terhadap penjajahan rasa, perasaan, akal dan kepercayaan, kerana nilai sesuatu bangsa terletak pada bahasanya. Setiap bahasa di dunia ini ada nilaiannya yang tersendiri. Jika bahasa sesebuah negara itu tidak terbela, ini bermakna sesebuah negara itu telah gagal untuk mempertahankan jati diri bangsanya. Nilai-nilai positif terhadap bahasa kita perlulah ditingkatkan dan diperkukuh kerana bahasa adalah cerminan ketamadunan sesuatu bangsa.

BAHASA PAKAIAN MASYARAKAT

Bagaimana kita katakan bahawa bahasa itu ialah ‘pakaian’ kepada masyarakatnya??
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, pakaian memberikan konotasi sebagai sesuatu yang dipakai, sesuatu yang biasa digunakan, amalan dan kebiasaan. Lazimnya, sekiranya seseorang memakai chongsam misalnya kita tahu bahawa individu tersebut  ialah masyarakat Cina. Sekiranya individu tersebut memakai baju kurung maka dia berbangsa Melayu. Di sini, dapat disimpulkan pakaian melambangkan sesebuah masyarakat atau bangsa. Begitu juga dalam kontek bahasa, bahasa yang digunakan melambangkan sesebuah masyarakat atau bangsa. Contohnya, jika seseorang individu tersebut bercakap menggunakan dialek Kelantan dengan fasihnya, kita dapat tahu bahawa individu tersebut berasal dari Kelantan. Oleh itu, fungsi dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu perlulah dipertahankan, bukannya diabaikan. Negara yang mengabaikan bahasanya sendiri akan meninggalkan kesan terhadap penjajahan rasa, perasaan, akal dan kepercayaan, kerana nilai sesuatu bangsa terletak pada bahasanya. Jika kita menggunakan bahasa kita dengan sebaiknya, ia akan dipandang tinggi oleh masyarakat dunia. Indah bahasa kita maka cantiklah bangsa kita

PEMANDU BERHEMAH


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada sahabat blog sekalian. Saya berharap kalian sihat sentiasa di bawah lembayung rahmatNya. Saya agak tertarik dengan sikap pemandu-pemandu bas UPSI yang sering mengangkat tangan apabila berjumpa atau berselisih antara satu sama lain. Perbuatan ‘mengangkat tangan’ dalam konteks ini melambangkan suatu bahasa yang hendak disampaikan. Perbuatan tersebut memberi maksud menyapa orang lain. Jika kita perhatikan, masyarakat ini sudah kurang amalan bertegur sapa. Tidak semua masyarakat tidak bertegur sapa antara satu sama lain tetapi kebanyakkannya masing-masing dengan hal masing-masing. oleh itu, tindakan pemandu bas tadi yang sering menyapa rakan-rakannya walaupun mereka bekerja bersama-sama sepanjang hari mereka tetap menyapa antara sastu sama lain jika mereka berselisih di perjalanan. Ini merupakan satu contoh yang baik untuk kita aplikasikan dalam kehidupan seharian kita.

SAHABAT ATAU KAWAN


Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Illahi Tuhan sekalian alam, hari ini aku masih diberi kesempatan olehNYA kerana masih diberi nafas yang tidak perlu dibayar untuk meneruskan kehidupan di muka bumi inikan. Hari ini hari isnin 10 januari 2011 telah masuk minggu kedua kuliahku di bumi UPSI. Seperti biasa, aku ke kuliah bersama sahabatku Nizar Hanim. Kami menaiki bas kitaran yang disediakan oleh pihak university untuk ke bilik kuliah kami di Proton City. Hari ini merupakan hari pertama aku menulis blog ini, memandang hari ini aku telah mempelajari suatu ilmu iaitu bagaimana untuk membuat blog. Ilmu ini telah dikongsikan oleh sahabat kelasku bernama Fawiz yang bermurah hati berkongsi ilmu dengan kami untuk membuat blog sendiri. Inilah yang digelar sahabat. Tetapi pada pandangan kebanyakan orang, dua orang individu itu akan digelar sahabat apabila mereka dilihat berjalan bersama, makan bersama, pergi kelas bersama, bersiar-siar bersama dan sebagainya bersama-sama. Rata-rata ‘style’ orang berkawan hari ini menggunakan konsep “Senang bersama susah sorang-sorang” Jika kita perhatikan ramai orang bersahabat dengan seseorang adalah untuk kepentingan dan kebaikan dirinya sendiri. Ada orang berkawan atas dasar material, atas dasar popularit dan pengaruh. Mari kita lihat konsep sahabat yang sebenar. Jika kita lihat persahabatan dari perspektif Islam, persahabatan (ukhuwah) itu dibina atas dasar Iman dan taqwa seperti mana firman ALLAH S.W.T :

            “Sesungguhnya orang mukmin itu tidak lain melainkan bersaudara”
                                                                                                (Al-Hujurat : Ayat 10)

Tiada hubungan kasih sayang tanpa taqwa, berdasarkan kalamullah :

            Orang-orang yang bersahabat setia pada hari itu menjadi musuh antara satu        sama    lain kecuali orang-orang yang bertaqwa”
                                                                                                (Al-Zukhruf : Ayat 67)
Kesimpulannya, sekiranya kita menjalinkan sesebuah tali persahabatan itu atas dasar Iman dan taqwa ukhwah fillah (bersaudara kerana ALLAH) akan lahir perasaan kasih sayang, hormat-menghormati, saling mempercayai. Jika persahabatan itu dibina atas dasar selain yang saya sebut sebentar tadi ia akan membawa permusuhan dan dendam mendendam. Sahabat yang sejati tidak akan lokek untuk berkongsi apa yang dia miliki dengan sahabat-sahabat yang lain manakala sahabat yang hanya ‘dibibir’ sahaja tidak akan sanggup melihat sahabatnya yang lain ‘lebih’ daripadanya. Sedikit perkongsian dan nasihat mengenai sahabat dari saya untuk diri saya khususnya dan untuk sahabat-sahabat amnya. Mana yang baik itu datang dari ALLAH S.W.T dan yang tidak baik itu dari kelemahan diri saya sendiri selaku makhluk ALLAH yang tidak akan sempurana.