Saturday, March 19, 2011

BAHASA MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

Bahasa ialah wahana tamadun. Dalam konteks tamadun Islam, medium terawal yang mengungkapkan segala aspek ketamadunannya ialah bahasa Arab atas sifatnya sebagai bahasa al-Quran. Pemilihan bahasa Arab sebagai bahasa kitab suci yang terakhir memperlihatkan kekuatan dan keupayaannya sebagai bahasa agama yang saintifik, rasional, dan bersifat ilmu pengetahuan (Syed Naquib 1972: 37). Pemilihan bahasa Arab perlu juga dianggap sebagai simbol kelahiran serta kemantapan bahasa-bahasa lain yang turut menyumbangkan peranan yang besar dan penting ke arah pembinaan dan perkembangan tamadun Islam di seluruh pelosok dunia termasuklah bahasa Melayu di Nusantara.

Ibnu Khaldun (1331-1406M) menerusi karya agungnya Muqaddimah Ibni Khaldun meletakkan syarat bahawa kekuatan tamadun Islam hanya akan dapat disaksikan apabila penggunaan bahasa dijadikan sebagai "syiar agama" (t.t.: 420) dan dalam konteks ini, bahasa yang dimaksudkan beliau ialah bahasa Arab. Kekuatan bahasa itu sekali gus menjadi kekuatan kepada aspek-aspek lain yang akhirnya menghasilkan pula kekuatan kepada tamadun tersebut itu sendiri. Itulah yang berlaku kepada tamadun Islam. Bahasa dapatlah didefinisikan sebagai satu sistem komunikasi manusia yang terdiri daripada bunyi-bunyi berstruktur (atau yang bertulis) kepada unit yang lebih besar seperti morfem, perkataan, ayat (Richards, Platt & Platt 1992:196) yang dihasilkan oleh organ pertuturan untuk membolehkan manusia berinteraksi antara satu sama lain (Anis:1973:14). Inilah juga definisi yang dikemukakan oleh al-Quran menerusi ayat yang bermaksud:

"Tidakkah engkau lihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu kalimah yang baik adalah sebagai batang pokok yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Ia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah membuat perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat dan mendapat pelajaran".
(Surah Ibrahim: 24-25)

Dalam erti kata lain, bahasa yang baik lagi bernilai terhasil daripada budi dan sopan santun serta bertitik tolak daripada keimanan, ketaqwaan, dan amal saleh yang akhirnya membawa keamanan dan menghasilkan kesejahteraan kepada kehidupan manusia di dunia dan di akhirat. Inilah konsep bahasa yang diperjuangkan oleh Islam.

No comments:

Post a Comment