Sunday, March 27, 2011

PEMUPUKAN NILAI MURNI DALAM KALANGAN MASYARAKAT

Budaya berbudi bahasa dan mengamalkan nilai-nilai murni bukan sekadar perlu dipertahankan bahkan perlu diperkayakan lagi agar ia tidak mengalami kepupusan serta sentiasa berkesinambungan untuk diwarisi daripada generasi ke generasi seterusnya. Usaha kita mempertahankan budaya dan adat resam perlu juga disertai dengan aspek tingkah laku berbudi bahasa.

Malaysia memerlukan pembangunan nilai dan budaya yang betul. Nilai-nilai yang terlibat adalah seperti ketulusan, kejujuran, intergriti, adil, amanah dan akauntabiliti. Dengan ini, kita bukan sahaja mampu membentuk aspek pembangunan luaran semata-mata, akan tetapi perlu juga memperbaiki aspek dalaman yang dikenali sebagai aspek keperibadian untuk menjadikan masyarakat kita sebagai suatu masyarakat yang benar-benar bertamadun.

Kemajuan dunia merangsang kita untuk bekerja, berdaya maju dan berusaha. Tetapi jangan sampai kemajuan itu mengajarkan kita pada perkara yang sebaliknya. Iaitu mengurangi nilai-nilai murni yang sedia ada dan pernah menjadi suatu kebanggaan atau aset bangsa.

Setiap golongan dan peringkat memainkan peranan untuk bekerjasama mempertahan dan memperkukuhkan budaya menjadikan budi bahasa dan pengamalan nilai-nilai murni sebagai satu cara dan gaya hidup berkesinambungan.

Permulaan yang baik adalah bermula daripada institusi keluarga yang menekankan tanggungjawab memberi pendidikan berdasarkan autoriti ibu bapa kepada anak-anak. Permulaan daripada kelompok keluarga adalah lebih berkesan dan lebih sesuai dijadikan sebagai tempat berkesinambungannya khazanah budaya berbudi bahasa dan nilai-nilai murni.

No comments:

Post a Comment