Sunday, March 27, 2011

BUDI BAHASA DAN NILAI KHAZANAH

Malaysia hari ini, situasi negara semakin maju dan membangun dengan kepesatan dalam pelbagai bidang termasuklah pembangunan ekonomi, peningkatan kualiti hidup, masyarakat yang berilmu dan juga masyarakat yang berdaya maju. Masyarakat pula semakin sedar untuk hidup berlumba-lumba mempertingkatkan status kedudukan sebagai suatu kelompok yang berdaya maju dan bertanggungjawab terhadap hal ehwal dan permasalahan serta keperluan negara. Dengan sikap majoriti secara dominan sebagai suatu masyarakat produktif dan berwibawa, maka negara kita semakin menuju ke arah kecemerlangan, kegemilangan dan terbilang.

Di sebalik pembangunan fizikal dan kebendaan tersebut, kita sebagai masyarakat yang terbilang perlu mempunyai agenda tersendiri agar tidak semata-mata hanya mempunyai infrastruktur kelas pertama tetapi memiliki mentaliti kelas ketiga. Masyarakat perlu memperkukuh lagi aspek budi bahasa dan nilai-nilai murni yang semakin diabaikan sejak akhir-akhir ini.

Sebagai rakyat Malaysia kita perlu ada kesedaran mengenai asal usul dan acuan kita sendiri yang boleh dilabelkan sebagai "Orang Timur". Orang Timur bukan hanya dikenali dengan penilaian rupa bentuk fizikal sahaja. Akan tetapi kita mewarisi satu khazanah paling berharga yang yang menjadikan kita sebagai masyarakat Timur yang berwibawa. Budaya dan sistem nilai itulah yang sebenarnya menjadi kayu ukur dan mercu tanda sebuah negara maju.


Demikianlah betapa pentingnya peranan budi bahasa dan nilai-nilai murni dalam aspek kemajuan kita "sendiri" sebagai masyarakat timur atau masyarakat ‘melayu'. Kepentingannya adalah meliputi matlamat Malaysia yang mempunyai matlamat mencapai Wawasan 2020 dan menjadi bangsa yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang. Matlamat yang lebih penting di sebaliknya adalah menjadi sebuah masyarakat yang maju mengikut cara kita sendiri dengan erti kata menambahkan peningkatan hidup dan kemajuan tanpa mengurangi nilai-nilai penting khazanah bangsa kita sendiri.

No comments:

Post a Comment