Thursday, March 3, 2011

KEMATIAN SUATU KEPASTIAN


Hari ini, selasa 11 januari 2011 genaplah setahun pemergian dua orang sahabat yang berjiwa besar. Masih segar di ingatan ketika mana aku menerima berita pemergian dua sahabat ini, air jernih berlinangan di pipiku. Perginya dua insan yang tidak pernah jemu memberikan nasihat dan peringatan kepada sahabat-sahabat lain. Aku masih teringat kuliah terakhir yang aku dengar daripada sahabat Allahyarham Mohd Fadhiri Ariffin. Beliau mengingatkan kami bahawa Islam datang dalam keadaan dagang (asing) dan akan kembali dagang (asing). Golongan yang bawa Islam ini akan dipandang asing oleh masyarakat pada hari ini. Aku bawakan satu cerita ketika aku dan sahabat-sahabat pergi ke Kuala Lumpur, di sana kami kelihatan begitu asing daripada orang lain. Banyak mata-mata yang memandang ke arah kami seolah-olah kami ini golongan yang ‘pelik’. Aku tertanya-tanya di kotak fikiranku, apa yang tidak kena? Aku yang pelik atau mereka yang pelik? Justeru itu, keadaan ini tidaklah pelik bagiku kerana dahulu Rasulullah s.a.w pernah bersabda :

            Islam datang dalam keadaan dagang (asing) dan akan kembali dagang (asing)

            Jika kita bercakap mengenai kematian, rata-rata ramai yang gerun mendengar perkataan tersebut. Apabila kita menerima sesebuah berita kematian, sudah pasti kita akan berasa sedih lagi-lagi kalau orang yang meninggal itu ahli keluarga kita, saudara terdekat kita dan orang-orang yang berada hampir dengan kita. Pasti kita akan terasa kehilangan mereka, tetapi pernahkah kita terfikir atau tercetus di benak kita pernyataan seumpama ini ‘kalaulah yang meninggal itu aku’. Apa yang ingin saya kongsikan di sini, kita takut apabila mendengar perihal kematian (bagi yang masih mempunyai sedikit Iman di hati) ada juga yang mendengar perihal kematian tetapi tidak memberikan sedikit rasa atau pun getaran di hatinya.

Bagi mereka itu adalah perkara biasa. Ya, saya tidak nafikan bahawa kematian itu adalah lumrah dalam kehidupan manusia. Tetapi pernahkah kita terfikir, apa akan berlaku kepada kita sekiranya kita mati? Bersediakah kita untuk menghadapi saat-saat genting itu? Apa persediaan kita untuk menghadapi kematian? Kita tidak tahu bila kita akan mati. Itu semua adalah dalam pengetahuan ALLAH sahaja. Tiada seorang pun manusia yang menegtahui saat kematiannya.

Sama ada kita tidak sedar bahawa maut itu berada sangat hampir dengan kita. Dia sentiasa mengikuti walau ke mana sahaja kita pergi. Maut hanya menunggu masa sahaja untuk mencabut nyawa kita. Bagi menyediakan diri kita untuk menghadapi sakratul maut, ayuh kita renung kembali asal usul kejadian kita, tujuan kita berada di bumi ini dan tugas kita sebagai makhluk yang paling mulia yang telah diciptakan oleh ALLAH S.W.T.

Pilihan terletak di tangan kita sama ada kita inginkan kematian yang baik dalam hidup kita ataupun sebaliknya. Saya menyeru kepada diri saya terutamanya dan kepada sahabat-sahabat amnya, sentiasalah kita muhasabah diri, sentiasa ingat akan kematian kita. ALLAH telah berfirman bahawa orang yang paling bijak di sisi ALLAH ialah orang yang sering mengingati mati. Wallahualam..


No comments:

Post a Comment