Friday, March 4, 2011

PEMANDU BAS YANG BUDIMAN


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada sahabat dan sahabiah yang dikasihi sekalian. Semoga anda semua berada dalam keadaan sihat dan gembira sentiasa. Hari ini saya ingin bercerita sedikit  pengalaman yang saya perolehi pada hari ini. Hari ini saya menunggu bas untuk pergi ke kampus. Semasa bas tiba, saat saya melangkah anak tangga pertama bas tersebut pemandu bas yang sepangkat ayah saya umurnya tersebut memberi salam kepada salam dengan lafaz ‘assalamualaikum cikgu’. Saya terkesima mendengar lafaz tersebut. Pemandu tersebut juga sempat memberitahu saya, ‘beri la salam dulu cikgu’ katanya sambil melemparkan senyuman. Salam yang dihulurkan oleh pemandu bukanlah memberi konotasi yang negatif tetapi beliau memberi salam dengan ikhlas dan dengan hormat. Di sini suka saya perkatakan, peristiwa yang saya alami itu memberi impak atau kesan yang besar ke atas diri saya. Bukan saya berasa malu, segan jauh sekali rasa terhina dengan sapaan begitu tetapi ia cukup menyedarkan saya dan saya amat bersyukur kerana ada yang sudi menegur. Perkara itu membuatkan saya boleh menilai setakat mana nilai sosial yang saya ada.

            Ingin saya menjentik sedikit ranting cikgu-cikgu sekalian, kadang-kadang kita terlalu memandang enteng tentang pertuturan, perlakuan dan tindak tanduk kita. Kita boleh lihat, sikap yang kita sering anggap remeh-temeh sebenarnya mempunyai nilai yang sangat besar iaitu budaya ‘memberi salam’. Saya suka mengajak sahabat-sahabat yang bukan beragama Islam, di sini ingin saya jelaskan budaya salam ini bukan sahaja kepada orang Islam sahaja. Sahabat-sahabat yang bukan Islam juga boleh mengamalkan budaya salam apabila berjumpa dengan sahabat yang Islam begitu juga sehabat yang Islam sesama Islam dan dengan sahabat yang bukan beragama Islam. ‘budaya salam’ ini bukan sahaja dengan lafaz kata ‘assalamualaikum’ malah ia boleh dipraktikkan dengan berjabat tangan.

            Saya juga menyeru sahabat-sahabat semua untuk koreksi diri kita. Di sini bukanlah saya ingin membebel, tetapi suka saya mengingatkan terutama kepada diri saya sendiri, kita membawa imej seorang guru, cikgu, pendidik dan sewaktu dengannya. Jadi, saya kira semua sahabat-sahabat sudah sedia maklum jika kita seorang guru seorang pendidik kita harus bersikap bagaimana. Sama-samalah kita renung-renungkan. Selamat beramal J

No comments:

Post a Comment