Saturday, March 26, 2011

PESANAN ORANG LAMA

“Kita hendaklah berbudi bahasa apabila bercakap dengan seseorang”. Demikianlah pesanan orang tua-tua kita pada zaman dahulu yang menggambarkan bahawa amalan berbudi bahasa menjadi agenda penting dalam kehidupan masyarakat pada masa itu. Bagi mereka, pemilihan kata dan tingkah laku yang bersopan ketika berbicara amat tinggi nilainya dan perlu dipertahankan. Individu yang berbudi bahasa lebih disenangi oleh orang ramai. Lazimnya, pandangan mereka lebih mudah mendapat perhatian dan sokongan anggota masyarakat. Ertinya, mereka memperoleh pengiktirafan secara tidak langsung daripada masyarakat. dalam konteks negara kita yang berbilang kaum, amalan berbudi bahasa tidak kurang pentingnya dalam usaha melahirkan masyarakat yang saling menghormati antara satu sama lain. Situasi ini dapat mengeratkan perpaduan kaum untuk menjana kehidupan yang lebih harmoni. Bagi memastikan hasrat tersebut menjadi realiti, langkah kerajaan mengadakan Kempen Berbudi Bahasa amatlah wajar dan perlu disokong.
Sudah menjadi kebudayaan mahasiswa UPSI yang ingin menuruni bas ke kelas akan mengucapkan ‘terima kasih’ kepada pemandu bas UPSI. Budaya ini saya lihat begitu baik sekali. Yang tua dihormati. Yang muda dikasihi.

No comments:

Post a Comment