Saturday, March 26, 2011

KETINGGIAN BUDI CERMINAN JATI DIRI

Masyarakat Melayu begitu menghargai dan menjunjung tinggi budi. Masyarakat Melayu juga menilai segala sesuatu itu berdasarkan budi. Buktinya, kecantikan seseorang bukan dinilai pada paras rupanya, tetapi dinilai pada budi bahasanya. Manusia akan dipandang hina jika tidak berbudi bahasa dan satu-satu bangsa itu pula akan runtuh jika budinya runtuh. Berbudi bahasa juga merujuk kepada asas penggunaan bahasa yang tepat dan sopan. Bahasa yang dilafazkan hendaklah mengandungi maksud yang baik dan nilai-nilai yang murni serta dilafazkan dengan nada yang elok dan jelas maksudnya. Penggunaan bahasa yang kasar dan dilafazkan dengan terpekik-pekik serta bercampur dengan bahasa lucah hendaklah dihindarkan kerana boleh mempengaruhi pendengarnya, khususnya kanak-kanak.

Namun, bahasa mesra yang tidak mesra semakin menjdi-jadi dan menjadi budaya “positif” dalam pergaulan terutamanya remaja. Begitulah sikap segelintir pemuda pemudi zaman sekarang. Perempuan mahupun lelaki. Masing-masing menampakkan atau menunjukkan keakraban persahabatan dengan menggunakan bahasa yang kurang sopan. Contohnya perkataan “bangang”, “gila”, “cis”, dan sebagainya menjadi suatu kebiasaan. Sungguhpun nampak keakraban yang timbul, tetapi bahasa mencerminkan nilai seseorang penutur yang menuturkan sesuatu bahasa. Situasi sebegini turut berlaku kepada mahasiswa. Yang kurik itu kendi. Yang merah itu saga. Yang baik itu budi. Yang indah itu bahasa

No comments:

Post a Comment